Satu statistik yang dikongsi oleh pakar di Malaysia pada 2019 menunjukkan populasi warga emas dijangka akan mencapai sehingga 25% daripada seluruh populasi di Malaysia menjelang tahun 2030 di mana Malaysia akan mencapai status ‘negara tua’. Konteks warga emas atau warga senior adalah diklasifikasikan sebagai penduduk tempatan yang berumur 65 tahun dan ke atas.
Berdasarkan kepada situasi sekarang, pertambahan jumlah warga emas ini amat membimbangkan kerana masyarakat dan situasi negara kita masih belum bersedia untuk memenuhi keperluan warga emas. Ini adalah kerana jika populasi warga emas semakin meningkat, kualiti kehidupan mereka akan merosot dan secara tidak langsung, mengganggu faktor sosio-ekonomik negara secara umum.
Walaubagaimanapun, ini bukanlah alasan untuk warga emas menyerah kepada takdir tanpa berusaha mencegah atau hanya pasrah. Salah satu pendekatan yang paling mudah untuk warga emas untuk terus relevan adalah dengan mula mengamalkan gaya hidup sihat dan menjalani penuaan yang aktif. ‘Penuaan aktif’ adalah proses mengoptimumkan potensi dan melibatkan diri warga emas dalam keluarga dan masyarakat ke tahap yang optimum mengikut kemampuan warga emas tersebut untuk meningkatkan kesejahteraan sertakualiti hidup.
Langkah Penuaan Aktif ini dapat mengelakkan wujudnya warga emas yang pasif dan melalui fasa ketidakupayaan hingga tidak mampu melakukan aktiviti asas seperti berjalan dan menjaga diri.
Apa yang dimaksudkan dengan ketidakupayaan?
Ia merujuk kepada limitasi atau disabiliti yang ramai warga emas hadapi disebabkan penyakit kronik yang dihidapi. Kebanyakan ketidakupayaan yang berlaku adalah dari aspek lemah daya pemikiran (kognitif), gaya hidup (lifestyle) dan pergerakan harian (lokomotif).
Sebagai contoh, penyakit demensia atau nyanyuk, iaitu kemerosotan dalam fungsi kognitif akibat penyakit neurodegeneratif pada otak melebihi dari proses yang penuaan yang biasa. Ia memberi impak khususnya pada ingatan atau memori, fokus atau tumpuan, pertuturan dan keupayaan menyelesaikan masalah.
Pada peringkat yang lebih teruk iaitu tahap akhir, pesakit mungkin akan menjadi sangat keliru dan tidak jelas tentang orientasi waktu, masa dan tempat. Mereka akan merasa sangat keliru sehingga tidak tahu hari apa, tidak tahu di mana mereka berada dan paling parah adalah sampai tidak mengenali diri sendiri. Secara umumnya, penyakit demensia adalah dikalangan orang dewasa yang berumur 60 tahun ke atas di Malaysia iaitu sebanyak 8.5% dan ianya lebih tinggi di kalangan kaum wanita. Rawatan dan terapi yang disediakan untuk penyakit demensia kebiasaannya hanya membantu selama dua tahun sahaja dan selepas itu keadaan pesakit akan merosot dengan cepat.
Dari aspek gaya hidup dan pemakanan, Malaysia mempunyai kadar obesiti tertinggi dalam kalangan negara-negara Asia dengan 64 peratus lelaki dan 65 peratus wanita yang mengalami berat badan berlebihan. Tambahan pula, kajian yang dibuat pada 2015 menunjukkan obesiti dalam kalangan warga emas Malaysia adalah 30.2%, dan dalam keseluruhan jumlah itu, hampir 38.8% mempunyai penyakit diabetes.
Ini membuktikan gaya hidup serta pemakanan tidak sihat merupakan faktor utama untuk warga emas mendapat penyakit kronik yang boleh menjejaskan kehidupan harian. Contohnya seperti pesakit kegagalan buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis, akan menyebabkan gangguan kepada aktiviti harian pesakit dan mereka memerlukan bantuan keluarga, anak-anak atau pembantu serta kelangsungan hidup terpaksa bergantung kepada mesin hemodialisis.
Selain itu, berdasarkan analisis yang dibuat pada 2018, satu daripada enam orang warga senior Malaysia mengalami masalah mudah terjatuh atau tergelincir dengan kadar terjatuh sekali dalam tempoh 12 bulan sekurang-kurangnya. Antara faktor yang menyebabkan seseorang warga emas mudah terjatuh adalah kerana berlaku ketidakseimbangan otot atau lemah otot akibat penyakit diabetes dan batasan ADL(Activities in Daily Living) atau aktiviti harian. Ramai dalam kalangan warga emas menyatakan mereka mengalami keterbatasan dalam pergerakan disebabkan keadaan otot badan yang lemah, cepat lenguh, sakit belakang dan sakit sendi lutut. Dianggarkan 9.3 peratus rakyat Malaysia dewasa mempunyai sakit sendi lutut dan lebih daripada separuh yang diperiksa mempunyai gejala kereputan sendi lutut atau osteoarthritis.
Seperti yang disebut di awal tadi, mereka yang mempunyai demensia juga berisiko tinggi untuk terjatuh kerana gangguan kepada daya-fikir (kognitif) menjadikan mereka tidak sedar dan cepat terleka menyebabkan mereka terjatuh secara tidak sengaja. Oleh kerana itu, perlu kita fahami bahawa kesihatan minda juga memainkan peranan penting dalam kepada keupayaan fizikal badan. Impak ‘terjatuh’ berpotensi menjadi lebih parah dan boleh melarat bagi warga emas kerana prestasi badan yang lemah. Ini akan meningkatkan risiko terhadap kecederaan luaran dan dalaman serta proses pemulihan yang lambat.
Persoalan utama yang diajukan untuk isu-isu yang dibincangkan di atas adalah bagaimana kita boleh mengekalkan tahap kesihatan yang berkualiti dan mengurangkan risiko ketidakupayaan atau ‘disabiliti’ dalam kalangan masyarakat yang semakin berusia? Jawapannya mudah, masyarakat kita perlu mengamalkan cara hidup Terus Aktif yang memberi fokus untuk meningkatkan kualiti hidup secara fizikal dan mental.
Mempraktikkan kaedah pemakanan yang asli dan seimbang yang berkhasiat tinggi serta mengelakkan pengambilan makanan tinggi gula dan makanan proses adalah langkah untuk terus aktif agar badan sentiasa sihat.
Salah satu cara untuk mengurangkan risiko Type 2- Diabetes adalah dengan memastikan aktiviti fizikal dilakukan secara harian dan di samping pengambilan pemakanan yang asli yang sihat dan berkhasiat. Selain itu, apabila rutin harian dilengkapi dengan aktiviti fizikal yang konsisten (harian dan mingguan), ia akan membantu badan berfungsi dengan lebih baik untuk pengaliran darah yang lancar serta penghadaman yang sempurna. Apabila makanan dicerna dengan baik, penyerapan nutrisi oleh badan menjadi lebih senang seterusnya mampu mengekalkan kesihatan yang baik walaupun di usia emas.
Aktiviti fizikal tak semestinya melakukan aktiviti yang berat seperti ‘workout’ atau aktiviti lasak. Aktiviti harian seperti berjalan di kawasan perumahan, berkebun dan senaman regangan atau ‘stretching’ yang ringan, menyapu rumah, mop lantai sudah cukup, asalkan badan kita bergerak.
Pemakanan yang betul, berkhasiat dan seimbang dengan aktiviti fizikal yang optimum adalah penting untuk mengekalkan tahap hormon yang optimum bagi warga emas. Hormon yang optimum akan menjadikan seseorang warga emas itu lebih aktif dan bertenaga. Ia akan mencegah ketidakupayaan fizikal, mental dan emosi.
Sekarang anda pasti faham tentang kepentingan untuk masyarakat yang akan memasuki usia lanjut iaitu warga emas untuk mengamalkan cara hidup terus aktif, bukan? Ini adalah demi mengekalkan tahap kesihatan ideal agar warga emas terus berupaya untuk meneruskan aktiviti-aktiviti harian seperti biasa dengan bertenaga.
Ingat, Terus Aktif untuk nikmati kualiti hidup dan kesihatan yang lebih baik sepanjang usia. Insyaallah!